(2 Disember 2012)
Alhamdulillah, selesai sudah dua program kerjasama antara KARISMA UPSI dengan RockCorps Malaysia. Pada 25 November 2012 yang lalu, seramai 59 orang ahli KARISMA UPSI telah mengikuti program anjuran RockCorps Malaysia di dua tempat yang berbeza iaitu Cheras dan Bukit Bintang. Kumpulan sukarelawan daripada Universiti Pendidikan Sultan Idris(UPSI) bertolak menuju ke destinasi masing-masing menggunakan dua buah bas yang berbeza pada pukul 7.45 pagi. Kumpulan sukarelawan KARISMA UPSI yang tiba di lokasi diberi sarapan pagi sebelum memulakan aktiviti sambil diberi sedikit taklimat ringkas tentang perjalanan aktiviti pada hari tersebut.
Untuk pengetahuan, aktiviti ini juga turut melibatkan mahasiswa/i dari pelbagai universiti termasuk universiti swasta, badan-badan korporat dan juga orang perseorangan. Antara aktiviti yang dilakukan sepanjang program adalah membersihkan kawasan sekitar, membersihkan tiang-tiang elektrik, pondok telefon, serta harta benda awam yang ditampal dengan pelekat-pelekat haram. Tujuan aktiviti ini diadakan adalah bagi memastikan persekitaran kawasan bersih dan selamat untuk didiami oleh masyarakat sekaligus mengelakkan pandangan negatif daripada pelancong asing yang datang ke Malaysia. Selain itu, tujuan utama adalah membersihkan papan-papan tanda di jalan yang penuh dengan pelekat-pelekat haram yang jelas mengganggu aktiviti masyarakat setempat. Aktiviti berlangsung selama lebih kurang 4 jam.
Program diakhiri dengan ucapan daripada saudara Zhariff yang merupakan salah seorang belia OKU yang tidak asing lagi dalam Malaysia. Kesungguhan serta kegigihan beliau telah banyak memberi inspirasi kepada pelbagai pihak terutamanya dalam kerja-kerja sesukarelawan. Kemudiannya, majlis diteruskan dengan pemberian tiket konsert RockCorps sebagai tanda penghargaan kepada kumpulan sukarelawan yang terlibat dalam program pada hari tersebut. Para peserta kemudiannya diberi makan tengahari. Minuman para peserta pada hari tersebut ditaja oleh Chatime. Thank you Chatime! =')
Sebelum bergerak pulang ke Tanjung Malim, para peserta diberi masa untuk melakukan aktiviti persendirian termasuk menunaikan solat Zuhur di kawasan berdekatan. Walaubagaimana pun, pergerakan peserta masih dalam kawalan ketua bas masing-masing kerana keberadaan peserta akan dipantau oleh ketua yang telah dipertanggungjawabkan untuk menjaga kebajikan peserta sepanjang program. TAHNIAH!
(antara gambar sekitar program berlangsung)
Sekalung penghargaan diucapkan dari pihak KARISMA UPSI kepada pihak RockCorps terutamanya kepada Encik Hilmi yang banyak membantu melancarkan pergerakan ahli KARISMA UPSI dari Tanjung Malim sehingga pergerakan pulang dari Bukit Bintang dan Cheras. Semoga KARISMA UPSI akan diberi peluang untuk menyertai pelbagai aktiviti menarik anjuran RockCorps Malaysia di masa hadapan.
"Tangan yang memberi lebih baik
dari tangan yang menerima".
KARISMA UPSI
(Berani, Jujur, Amanah)
Rakan Siswa Hebat!
SALAM 1MALAYSIA :)
No comments:
Post a Comment