Sunday, 9 December 2012

Kotakan Apa Yang Dikata, Realisasikan Apa Yang Dijanji.

(10 Disember 2012)

Datang KARISMA tunai amanah,
Untuk bersama mengota janji. 

8 Disember 2012 - Kumpulan Rakan Siswa Malaysia Universiti Pendidikan Sultan Idris(KARISMA UPSI) dibentuk atas cogan kata BERANI, JUJUR dan AMANAH. Berhubungkait dengan isu yang dibangkitkan oleh salah satu penulisan di laman blog UPSIKINI, KARISMA UPSI mengambil langkah proaktif dengan melancarkan satu misi kemanusian bagi membantu mahasiswa/i Kolej Ungku Omar yang didakwa oleh pihak berkenaan sedang kebuluran. MasyaAllah! Mungkin salah kami terlepas pandang. 


Dengan bantuan dan kerjasama daripada saudara Muhamad Syahmie Aiman bin Sulaiman selaku Exco Kebajikan Mahasiswa Majlis Perwakilan Pelajar(MPP UPSI), pihak KARISMA UPSI turun padang untuk memberi bantu dalam misi kemanusiaan yang diadakan di Kafe Kolej Ungku Omar(KUO), Proton City dengan menyediakan makanan KFC. Relevannya pihak kami memilih KFC adalah kerana KFC merupakan antara makanan yang lambat basi, mudah disediakan dalam kuantiti yang banyak dan digemari oleh golongan pelajar. Dalam masa yang sama, pihak KARISMA UPSI juga turut menunggu kehadiran Muhamad Syafiq Abdul Majeed selaku Exco Kebajikan Majlis Perwakilan Pelajar(MPP UPSI) yang dengan yakin telah menyatakan bahawa beliau akan membawa seramai 3000 orang mahasiswa/i Kolej Ungku Omar yang didakwa beliau kebuluran untuk datang ketika sesi pengagihan makanan dijalankan. Walaupun pada hakikatnya, apabila diteliti kembali bilangan mahasiswa/i Kolej Ungku Omar yang menghuni kolej tersebut hanyalah berjumlah 1700 orang sahaja. Walaubagaimana pun, kami mengerti. Mungkin terdapat sedikit kesilapan fakta di situ.

Apa yang menyedihkan dan amat disesali adalah apabila pihak KARISMA UPSI didakwa akan mengadakan demonstrasi pada hari kejadian. Walhal pada hakikatnya, kami hanya mahu mengagihkan makanan KFC yang telah dibeli khas buat mahasiswa/i Kolej Ungku Omar. Mana mungkin, ahli KARISMA UPSI yang telah ditanam dengan nilai-nilai jati diri dalam setiap program khususnya Kem Waja Diri akan mengambil langkah sebegitu rupa tanpa memikirkan sebarang kesan atas tindakan tersebut. Saudari Herni binti Henry selaku Preseiden KARISMA UPSI juga telah mengesahkan bahawa sesi pengagihan dijalankan tanpa sebarang kejadian seperti yang telah didakwa. 

Berbalik kepada misi mahasiswa/i daripada KARISMA UPSI yang menunggu di Kolej Ungku Omar untuk membuat pengagihan makanan kepada mahasiswa/i yang kononnya kebuluran, pihak KARISMA UPSI telah menunggu selama beberapa jam namun amat mengecewakan. Tiada isu mahasiswa/i kebuluran seperti yang didakwa oleh pihak UPSIKINI dalam sebuah penulisannya. Namun, pihak KARISMA UPSI masih berusaha untuk membuat pengagihan walaupun tanpa kehadiran saudara Muhamad Syafiq Abdul Majeed yang dikatakan akan hadir untuk membantu pihak KARISMA.

Ketika sesi pengagihan dijalankan.
Turut kelihatan Pengetua Kolej Ungku Omar.

Pihak KARISMA UPSI juga turut berkesempatan berjumpa dan menemu ramah Pengetua Kolej Ungku Omar, Dr. Bazrul bin Bahaman mengenai isu kebuluran ini dan beliau mengatakan bahawa keadaan di kolej tidaklah seperti apa yang diutarakan di dalam laman blog tersebut. Di dalam sesi itu, beliau memuji langkah progresif daripada KARISMA UPSI dalam usaha merungkai sekaligus mencari kepastian dalam membuktikan bahawa apa yang diperkatakan tidak benar sama sekali. Beliau juga menasihati mahasiswa/i yang mempunyai masalah kewangan berhubung terus dengan beliau atau pun pihak Jawatankuasa Mahasiswa Kolej(JMK) bagi tindakan lanjut. Beliau juga telah menyatakan bahawa beliau akan berusaha membantu pelajar yang tampil ke hadapan bersama dengan keluarga pelajar itu sendiri. Namun, jika pelajar itu sendiri tidak tampil "dia zalim kepada saya kerana tidak memberitahu saya, dan dia zalim kepada pelajar lain kerana tidak menyelesaikan masalah tersebut".(Dr Bazrul bin Bahaman)

Ya, kita akui bahawa mahasiswa/i datang dari pelbagai latar belakang yang berbeza. Ada yang berada, ada juga yang biasa-biasa sahaja. Tidak kurang juga ada yang terpaksa mengikat perut di saat rakan-rakan lain menikmati juadah harian. Namun harus kita sedar, inilah perjuangan. Perjuangan kita berperang dengan nikmat masing-masing. Pada yang selesa, bersyukurlah. Pada mereka yang kekurangan, bersyukurlah. Kita semua sedang diuji. Semoga ada nikmat baru menyusul atas kesyukuran kita, InsyaAllah. 

Kesimpulannya, sebagai mahasiswa/i yang prihatin kita haruslah mengambil dan mencari tahu masalah rakan-rakan di sekeliling secara umumnya. Walaubagaimana pun, kita harus bijak menggunakan medium dan juga kemudahan seperti Jabatan Hal Ehwal Pelajar(JHEPA), Majlis Perwakilan Pelajar, Jawatankuasa Mahasiswa Kolej(JMK) yang sedari awal penubuhannya adalah untuk memberi khidmat terbaik kepada seluruh mahasiswa/i Universiti Pendidikan Sultan Idris. Maka, gunakanlah hak anda di tempat yang betul dan dengan cara yang berhemah. Tindakan kita melambangkan identiti kita. Semaikanlah nilai-nilai murni dan jati diri yang teguh dalam diri masing-masing agar akhlak kita terpelihara untuk generasi akan datang. Ingatlah, anak-anak murid kita nanti mengimpikan guru yang dapat memberi mereka inspirasi, bukan memalit rasa benci. Sama-sama lah kita audit diri. Rawatlah rohani nescaya bersinarlah peribadi. Jalan mana yang kita pilih untuk menjadi guru yang bagaimana suatu masa kelak. 

Diharapkan agar mahasiswa/i bijak dalam menilai maklumat yang diterima kerana abad ini, kita terlalu mudah untuk mengakses maklumat hanya dengan menggunakan hujung jari. Dalam dunia tanpa sempadan ini, kita sebagai mahasiswa/i harus menggunakan kewarasan fikiran dan bertindak rasional tanpa terlalu mengikut emosi. Bersama lah kita menaikkan nama Universiti Pendidikan Sultan Idris(UPSI) sebagai satu universiti yang mengeluarkan produk-produk yang menjadi aset negara yang berkualiti. Kejahatan tidak pernah mati dan kebaikan tidak pernah berhenti.



Mengapa berlumba-lumba menyuntik kebencian di saat 
kita boleh mencari peluang menyebarkan kebaikan? 
Fikirkanlah.


"good actions gives strength to ourselves 
and inspires good actions in others".
(Plato)


MAHASISWA BERKARISMA PEWARIS KEMPIMPINAN NEGARA.
KARISMA UPSI
RAKAN SISWA HEBAT!

salam 1Malaysia! :)




1 comment: